Friday, December 11, 2015

Apa itu Sukarelawan Hospital?

Yang bernama sukarelawan hospital....

Dulu-dulu, masyarakat kita saling bantu-membantu. Susah senang sama dirasai, jerih perih sama dibadai. Zaman dahulu juga kurang hospital. Jika ada pun terlalu jauh untuk orang-orang kampung.

Zaman berubah. Kemajuan semakin pesat. Yang dulu namanya kampung, kini telah menjadi bandar. Yang dulu kurang, sekarang semakin banyak. Namun, kegiatan sosial masyarakat turut berubah.

Sekarang tiada yang percuma. Mahu dibantu, siapkan sahaja ongkosnya. Mahu ditolong, pasti ada habuannya. Hubungan manusia semakin menjadi renggang, nafsi-nafsi kata orang.

Dengan banyaknya hospital dan dengan banyaknya pesakit, dan dengan kurangnya kesedaran dan kehidupan beragama dalam masyarakat, maka wujudlah kegiatan sukarela membantu pihak hospital.

Daripada kegiatan sosial dulu-dulu, kini kegiatan sosial diinstitusikan. Hospital juga meraikan kerana banyak kerja-kerja yang tidak sempat dilaksanakan oleh kakitangan perubatan, dapat ditampung oleh sukarelawan.

Sudah mula nampak sedikit apa itu sukarelawan hospital?

Tugas-tugas mulia yang dilakukan oleh sukarelawan hospital ialah menampung apa yang tidak dapat dilakukan oleh kakitangan perubatan meliputi kehidupan beragama dan kehidupan sosial. Kadangkala dari segi ekonomi juga.

Fuh...Sikit punya susah mahu faham...

Maknanya, sukarelawan hospital membantu pesakit dan kakitangan perubatan dari segi ibadah, agama, merawat emosi, kaunseling, membantu ekonomi, mengurangkan tekanan mental, membantu fizikal pesakit dan tugas-tugas lain yang sesuai.

Yang mana, tugas ini tidak sempat dilakukan oleh kakitangan perubatan kerana kekangan masa, kekurangan tenaga, kesempitan ruang dan kurang pengetahuan.

Kita akan perincikan tugas-tugas sukarelawan ini kemudian. Stay tuned...

 

No comments:

Post a Comment